Senin, 28 Desember 2009

Kesimpulan tata cara pergaulan

Berikut kesimpulan dari berbagai tata cara pergaulan dengan
seumum masyarakat, disebutkan dengan ringkas di bawah:

Jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada sesiapa pun, sama ada
yang masih hidup mahupun yang sudah mati,
kerana bersikap demikian akan
membinasakan anda. Sebenarnya anda tiada mengetahui mungkin sekali orang
itu lebih baik nasibnya dari anda di hari belakang. Sekalipun orang itu
pada lahirnya fasik jahat, tidak mustahil pula nasib yang semacam itu
akan menimpa dirimu sendiri, sehingga anda mengakhiri hayatmu dalam
keadaa fasik dan jahat, sedangkan ia mengakhiri hayatnya dalam keadaan
baik dan saleh.

Janganlah menilai seseorang itu menurut keadaan dunianya lalu anda
memuliakannya.
Sebab dunia itu kecil sekali di sisi Allah Ta’ala,
segala-gala yang ada di dalam dunia kecil semata-mata Jangan sampai anda
menjual agamamu untuk mendapatkan benda-benda keduniaan, sehingga anda
dipandang kecil di mata orang yang memberinya. Mungkin sekali suatu masa
kelak, anda tidak akan diberinya lagi, maka ketika itu anda akan
kehilangan harga diri di matanya.

Jangan cuba menentang orang lain, sehingga terjadi permusuhan antara
kamu bersama,
melainkan jika anda melihat sesuatu kemungkaran dalam agama
yang dilakukan oleh orang itu maka ketika itulah boleh anda menentang
usaha-usaha kemungkaran yang dilakukannya itu.

Jangan merasa puasa hati bila mendengar pujian orang di hadapanmu
ataupun merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis
terhadapmu,
sebab yang demikian itu belum tentu dari hakikat batinnya.

Jangan sekali-kali mengadukan segala hal-ehwalmu yang berupa kesusahan
dan sebagainya kepada orang lain
sebab di khuatiri bahwa Allah Ta’ala
akan murka lalu diserahkan semua urusanmu itu kepada orang itu.

Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama terhadapmu bila berada di
belakangmu,
sebagaimana yang anda kenal kepadanya di masa berdepan
denganmu. Harapan semacam itu adalah sia-sia belaka dan tidak betul.

Jangan terlalu mengharapkan untuk memiliki apa-apa yang ada di dalam
tangan orang,
niscaya anda akan dipandang hina olehnya. Tetapi apabila
meminta sesuatu benda dari seorang kawan lalu diberinya benda itu pada
anda, maka itulah seorang kawan yang berfaedah. Jika ia tidak
memberinya, maka janganlah anda mencacinya, kelak ia akan menjadi lawan
yang bukan senang bagimu untuk menghadapnya.

Jangan membuang masa untuk menghambur-hamburkan nasihatmu kepada orang
yang sudah ternyata tidak mahu menerima nasihat-nasihat itu darimu.

Kerana bukan saja ia tiada akan mendengar nasihat-nasihatmu itu, malah ia
akan memusuhimu pula. Kalau perlu di nasihatkan juga, maka hendaklah
dengan sindiran, atau memberikan berbagai-bagai contoh dengan bercerita
tanpa diberitahukan kepadanya, bahwa dialah orang yang dimaksudkan.

Jika anda mendengar bahwa orang itu pernah mencelamu, atau membuat
sesuatu keburukan terhadap dirimu, maka sebaik-baiknya anda serahkan
perkaranya kepada Allah Ta’ala, serta anda berlindung dengan Allah
daripada bahaya-bahayanya. Ingatlah jangan cuba memikirkan sesuatu
rancang balas terhadap perbuatannya itu, sebab yang demikian itu akan
lebih membahayakan diri anda. Terhadap orang-orang yang membuat salah
terhadap dirimu, hendaklah anda tetap menunaikan segala hak-hak mereka,
memekakkan telinga dan mendengar segala kebatilan mereka serta mengakui
semua hak-hak mereka.

Waspadalah dari berkawan dengan semua peringkat manusia, sebab bukan
semua orang dapat memaafkan kehilafan, atau mengampunkan kesalahan atau
menutupkan keburukan. Tetapi biasanya mereka berkira-kira sangat atas
yang kecil dan yang besar dan mendengki terhadap yang sedikit dan yang
banyak.

Jangan segera menyatakan kecintaanmu kepada orang yang anda belum kenal
kesetiaannya dengan cara yang seteliti-telitinya.
Tetapi hendaklah anda
berkawan dengannya dalam waktu yang panjang sedikit, di mana anda dapat
mencubanya dalam hal-ehwalnya, umpamanya dalam urusan wang ringgit, atau
ketika anda dalam keperluan, atau anda cuba mengawaninya dalam pelayaran.
Maka jika anda redha dan senang dengan kelakuannya dalam hal-hal yang
tersebut di atas tadi, maka barulah anda jadikan dia sebagai kawan.
Iaitu kiranya ia lebih tua dari anda, jadikanlah ia seolah-lah ayah, dan
kiranya ia lebih muda dari anda, jadikanlah ia seolah-olah anak, ataupun
kiranya anda sebaya umur dengannya, jadikanlah ia seolah-olah saudara
kandung.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar